Berangkat ke Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun, Awal Tahun Hijrah 1448 Peringkat Negara




Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Ni'al Haris Haji Muhd. Nikman






KIARONG, Selasa, 16 Jun. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1448 Peringkat Negara berlangsung lewat petang tadi di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, di sini. 


Berangkat sama, paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah; Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr. Abdul Fattaah ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Baiduri Sendirian Berhad selaku Pengendali Bersama; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah; Menteri Kewangan ll, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengendali Bersama; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri ll, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof selaku Pengendali Bersama; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.


Bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah 1447 sebanyak dua kali dalam Bahasa Arab dan satu kali dalam Bahasa Melayu oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.


Sejurus selepas itu, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.


Majlis diteruskan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah diimamkan oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie.


Diikuti dengan Bacaan Doa Awal Tahun Hijrah 1448 sebanyak dua kali dalam Bahasa Arab dan satu kali dalam Bahasa Melayu oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie dan seterusnya Sembahyang Hajat Berjemaah.


Bagi memohon keberkatan dan rahmat dalam majlis yang penuh kebajikan ini, Doa Selamat dibacakan lagi oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie.


Tema Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1448 Peringkat Negara ialah 'Hijrah Penyelamat Aqidah'.


Majlis dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Bank Baiduri Sendirian Berhad.












Close